Kata seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang bernama Said Al-Khudri r.a. (beliau dikatakan seorang sahabat yang terkenal dengan kepahlawanannya dan berani). Beliau berkata ada seorang sahabat datang menghadap Baginda yang Mulia lalu meminta bantuan dari Rasulullah SAW. Baginda Mulia telah memberi apa yang diminta oleh beliau, kemudian datang lagi sahabat itu untuk tujuan yang sama. Jawab Baginda yang Mulia “Apa yang ada pada aku, telah ku berikan kepada kamu” dan sabdanya lagi, “Sesiapa yang ingin berdikari, Allah SWT akan kurniakannya kemampuan….
Kata orang bijak-pandai, masalah tidak akan selesai dengan meminta-minta, kamu tidak akan menjadi kaya dengan pemberian orang. Ini benar kerana seorang yang memberi, berapa kali beliau boleh memberi. Kekayaan boleh didapati melalui usaha gigih, tekun, tidak jemu-jemu mencari harta, bersabar, berjimat-cermat dan lain-lain.
Dari usaha yang dibuat secara kecil-kecilan dan berkekalan, ia akan menambahkan harta seseorang dalam mencari harta, seharusnya dari bawah dia naik ke atas dan bukan sebaliknya.
Ramai orang kita yang telah mendapat banyak bantuan kerajaan (untuk menjalankan perniagaan terus secara besar-besaran) yang akhirnya perniagaan mereka gulung-tikar disebabkan tiada pengalaman menjalankan perniagaan secara besar-besaran. Proses mengumpul harta berkumpul sama seperti proses umur manusia, ia mesti melalui bermacam rintangan, pahit-maung, rebah-bangun dan akhirnya barulah umur itu genap lima puluh tahun. Ia tidak boleh terus menjadi, seperti selepas lahir terus berumur lima puluh tahun.
Pernah Baginda yang Mulia itu membuat perjanjian dengan seorang sahabat, iaitu umatnya, “Jangan meminta pertolongan dalam kerja kamu dari sesiapapun”. Sahabatnya menerima “Ya, saya terima janji tersebut” Pada satu hari ketika beliau hendak berlepas pulang dan beliau berada di atas kudanya, beberapa orang sahabat beliau berada dekat dengan kudanya untuk mengucapkan selamat jalan. Tiba-tiba camti kuda beliau terjatuh, lalu beliau turun dari kudanya itu dan mengambil sendiri cantinya itu. Sahabat-sahabat beliau yang berada di situ berkata kepada beliau, “Kenapa kamu turun dari kuda kamu? Kami boleh tolong ambil camti itu. Maka jawab beliau “Tidak, aku telah berjanji dengan Rasulullah SAW tidak akan meminta pertolongan dari sesiapa dalam urusan aku.
Mereka yang berdikari tetap berjaya pada akhirnya. Ramai peniaga yang tidak meminta bantuan pihak lain, namun akhirnya mereka berjaya juga. Cuma mungkin lambat sedikit, tetapi dalam menuju kecemerlangan perniagaannya, mereka telah menjadi lebih matang, lebih berpengalaman. Ada seorang diantara mereka yang telah ditawarkan bantuan oleh pengurus salah satu cawangan Maybank di sini (Kuala Lumpur), tetapi beliau lebih suka berdikari dan menolak tawaran tersebut. Akhirnya beliau telah berjaya dan memiliki ladang-ladang, kedai-kedai dan juga rumah-rumah yang disewakan.
Dalam usaha berdikari seseorang dapat membebaskan masanya dari membazir masa (lepak-lepak) yang memang dilarang oleh Islam. Mereka yang banyak lepak sukar membebaskan diri dari dosa atau terlibat dengan jenayah-jenayah kecil. Kata orang luar, otak mereka (yang banyak lepak) dijadikan sarang oleh syaitan.
No comments:
Post a Comment